Golden Screen Cinemas (GSC) menerusi laman sosial Twitter miliknya pada Khamis, mengesahkan filem terbitan Disney, Thor: Love and Thunder tidak akan ditayangkan di Malaysia.
Kemas kini terbaharu mengenai filem itu pastinya mengecewakan peminat filem Marvel yang teruja menantikan tayangan filem itu.
“Pihak Disney sudah mengesahkan filem Marvel Studios’ Thor: Love and Thunder tidak akan ditayangkan di Malaysia.
“Kami hargai kesabaran anda dan memohon maaf di atas segala kesulitan,” tulis GSC.
Terdahulu, Disney memaklumkan filem itu akan ditunda tayangannya pada 21 Julai lalu.
Filem lakonan Chris Hemsworth itu dikatakan tidak lepas ditayangkan di sini gara-gara terdapat beberapa babak yang memaparkan aksi LGBT.
Selain Chris, filem itu turut dibintangi Christian Bale, Natalie Portman dan Taika Waititi yang turut bertindak selaku pengarah bagi naskhah ini. – BOOM!