Dilabel antara pengarah yang gemar ‘menjual’ tubuh para pelakon lelaki, Shuhaimi Lua bagaimanapun ada alasan tersendiri untuk berbuat demikian.
Shuhaimi yang kini sedang mengarahkan drama Chinta Arjuna menegaskan, kebetulan kebanyakan skrip arahannya memang menuntut pelakon-pelakon lelaki menanggalkan baju mereka.
“Mula-mula dulu Noki K-Clique jadi bualan ramai setelah dia membintangi drama Oh My Hantaran.
“Terbaharu, nama Fadlan Hazim mula dipetik warganet sementelah dia terbabit dalam drama Chinta Arjuna.
“Bahkan dalam drama ini terdapat juga beberapa watak lelaki lain turut melakonkan aksi sama, maka bertambah-tambahlah cemuhan netizen,” ulasnya.
Namun menurut Shuhaimi, dia bukan suka-suka menyuruh Noki dan Fadlan membuka baju, akan tetapi penceritaannya wajar begitu.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] “Peringatan Untuk Semua!” – PU Syed Tegur Pengarah ‘Telanjangkan’ Pelakon
Tambahnya yang membuat debut menerusi filem Chukang, Lembaga Penapisan Filem (LPF) sendiri yang memberi lampu hijau melepaskan adegan tersebut.
“LPF dah lulus, stesen TV pun memang mahukan babak macam tu, jadi kenapa saya dipersalahkan?
“Lagipun takkan babak mandi kolam renang atau tasik nak kena pakai jubah?” jawabnya.
Apapun, sutradara itu tidak mengambil hati atas setiap cemuhan warganet dan menerima teguran dengan hati terbuka. – BOOM!