Kes kematian kanak-kanak di pusat asuhan baru-baru ini menimbulkan kebimbangan pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad , 33, untuk menghantar anak-anaknya ke taska.
Uyaina meluahkan perasaan itu menerusi Instagram Story selepas membaca luahan hati seorang ibu yang kehilangan anak ketika dalam jagaan sebuah pusat asuhan.
“Hancur hati baca luahan hati seorang ibu yang baru sahaja kehilangan anak. Nak cari taska atau tadika, semua itu buat saya jadi takut sebenarnya, nauzubillah,” katanya.
Mengulas lanjut, hos program Wanita Hari Ini itu turut menasihati ibu bapa supaya lebih berhati-hati sebelum membuat keputusan menempatkan anak di mana-mana pusat jagaan.
“Kenal pasti dulu sama ada taska itu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Jika berdaftar dan berlaku sebarang kejadian, kita boleh ambil tindakan, malah taska tersebut boleh disiasat dan ditutup.
“Salam takziah untuk ibu dan ayah baby Handzalah. Semoga kalian bertemu semula di syurga nanti,” tambahnya.
Sejak beberapa hari lalu, kisah seorang wanita yang kehilangan anak ketika dalam jagaan sebuah taska tular di media sosial, mengundang simpati ramai dan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.
Langkah pemeriksaan dan kesedaran mengenai taska berdaftar diharap dapat mengelakkan kejadian tragis seperti ini daripada berulang. – BOOM!