Penganjur konsert Kharisma Music International menafikan dakwaan kononnya mereka bertindak terburu-buru membatalkan Konsert Malam Sutera Aisha Retno, yang dijadualkan berlangsung pada 16 November.
Peguam Kharisma Music, Tuan Muhammad Arief Tuan Mohamad Yusof, menafikan dakwaan bahawa Aisha Retno tidak mengetahui mengenai pembatalan konsert tersebut. Arief menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas beberapa perbincangan dengan pihak pengurusan Aisha Retno Entertainment (ARE).
Penjualan Tiket Yang Rendah
“Dalam pertemuan pada September 2024, pihak ARE dimaklumkan bahawa hanya 98 tiket daripada 2,414 yang berjaya dijual. Selain itu, 100 tiket lagi diperuntukkan kepada pihak media. Kami terpaksa menangguh atau membatalkan konsert bagi mengelakkan kerugian,” kata Arief dalam sidang media di Zebra Square, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Konsert Sebagai Cagaran Hutang
Menurut Yuka Kharisma, penyanyi dan penganjur bersama Kharisma Music, konsert tersebut merupakan salah satu usaha untuk Aisha melunaskan hutang sebanyak RM83,000. Wang itu dipinjamkan kepada Aisha bagi persiapan persembahannya di Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38) pada Mac lalu.
“Kami bantu Aisha dengan menyediakan dana kerana pihak ARE menghadapi kesukaran untuk mencari sumber kewangan. Bagaimanapun, setakat ini, dia hanya membayar balik RM6,000,” jelas Yuka.
Isu Promosi Dan Peranan Artis
Menjawab tuduhan kurang promosi, Yuka menegaskan pihaknya telah melakukan yang terbaik.
“Kami telah menggunakan ads sebagai strategi promosi, tetapi kami juga meminta Aisha menyediakan video promosi. Malangnya, video tersebut mengambil masa hampir dua bulan untuk diberikan kepada kami,” katanya.
Yuka turut menekankan bahawa artis memainkan peranan besar dalam mempromosikan konsert mereka.
“Kalau ada yang kata promosi kurang, kena tanya juga kepada pihak artis sendiri. Adakah sudah cukup usaha di media sosial?”
Kekecewaan Aisha
Sebelum ini, Aisha Retno meluahkan rasa kecewa dengan pembatalan konsert sulungnya dan mendakwa pihak penganjur kurang berkomunikasi. Aisha juga meminta maaf kepada peminat atas pembatalan yang tidak dijangka itu.
Kharisma Music memberi jaminan bahawa peminat yang telah membeli tiket akan menerima bayaran balik dalam tempoh 14 hari bekerja. – BOOM!