Pelawak Atu Zero tertanya-tanya motif stesen televisyen Awesome TV membekukan bayaran tertunggak sebanyak RM30,000 yang patut diterimanya sejak beberapa bulan lalu.
Atu ketika dihubungi BOOM berkata, hanya dia yang belum menerima bayaran tetapi artis lain sudah dilunaskan selepas dia menyuarakan isu tersebut.
“Saya pun tak faham kenapa saya sahaja yang belum dibayar. Mungkin mereka sengaja kerana marahkan saya naikkan isu di Instagram. Tapi saya tiada pilihan kerana, itu sahaja saluran yang saya ada selepas meminta hak saya secara baik dan mereka buat endah tak endah.
“Saya bukan nak buka aib sesiapa, tetapi ini kebenaran. Semua kawan lain sudah dapat bayaran mereka selepas isu ini viral, cuma saya seorang sahaja dibekukan. Kenapa?
“Saya tahu saya hanya ada kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia dan kelayakan mereka lebih tinggi, cuma kenapa tak boleh berfikir seperti saya,” luahnya.
Bagaimanapun kata Atu, dia bersyukur rakan-rakan lain sudah mendapat bayaran dan ada di antara mereka yang menghubunginya dan mengucapkan terima kasih.
BACA: “Minta Payment Sendiri, Awesome TV Ibaratkan Kita Anjing Makan Tuan Pula!” – Pengurus Atu Zero
“Ada yang telefon saya ucap terima kasih kerana suarakan isu tersebut sehigga ia menjadi tular yang akhirnya membuatkan mereka dapat hak mereka.
“Saya lega kerana secara tidak sengaja saya dapat bantu kawan-kawan lain dan memperjuangkan hak mereka,” katanya.
Dalam pada itu Atu berkata, jika selepas ini dia mendiamkan diri tidak bermakna isu sudah selesai.
“Saya diam sebab tak mahu keruhkan lagi keadaan. Selagi hak saya tidak diberikan, selagi itulah saya tidak halalkan keringat saya yang telah mereka kerah.
“Mungkin RM30,000 itu tidak banyak untuk mereka, tetapi bagi saya yang tidak kaya ini ia sangat bermakna kerana saya cari rezeki untuk isteri dan anak-anak.
“Saya boleh bersabar sekiranya bayaran lambat, tetapi sekarang kita cakap soal hak. Tak bolehlah kalau nak halalkan RM30,000, itu titik peluh kita.
“Mereka tetap mengasak saya ke pejabat untuk berjumpa. Sebelum ini saya dah datang, tapi janji kosong. Lagipun boleh saja terus masukkan wang itu ke akaun seperti bayaran terdahulu,” katanya. – BOOM!