Organisasi Miss Universe Malaysia semalam mempersembahkan rekaan gaun petang dan kostum nasional yang bakal diperagakan Miss Universe Malaysia 2022 di peringkat global pada Januari 2023 di Amerika Syarikat.
Dalam acara yang diadakan di Menara MYEG, wakil negara tahun ini, Lesley Cheam tampil menggayakan dua pasang persalinan diilhamkan oleh pereka fesyen terkenal tanah air iaitu Hatta Dolmat.
Bagi memenuhi segmen gaun petang dalam pertandingan di pentas dunia itu kelak, Hatta mempertaruhkan sepasang busana mewah rona merah yang dijangka mampu menyerlahkan pesona dan keanggunan Lesley.
Menurut Hatta, dia mendapat ilham menghasilkan rekaan itu daripada kosmet dinamakan sebagai Nebula yang merupakan sejenis bintang dalam sistem angkasa.
Sementara itu, busana untuk menyertai acara kostum nasional pula diinspirasikan daripada Gunung Kinabalu, lambang kemegahan Malaysia yang berdiri teguh di puncak setinggi 4,095 meter dari paras laut.
Menjelaskan penggunaan warna perak dan kelabu, Hatta berkata, ia adalah simbolik kepada kepingan granit yang mudah didapati di persekitaran gunung tertinggi Asia Tenggara itu.
Tambahnya, fabrik untuk menghasilkan kostum tersebut diperbuat daripada bahan seperti kulit kayu dan PET (polietilena tereftalat) kitar semula. – BOOM!