Pelakon yang membawakan watak Hawkeye dalam siri filem super hero Avengers, Jeremy Renner kini sedang menerima rawatan selepas mengalami kecederaan serius ketika membersihkan salji pada Ahad lalu.
Wakil pelakon itu memaklumkan insiden malang berkenaan dan mengesahkan pelakon itu berada dalam keadaan kritikal.
“Kami boleh mengesahkan Jeremy berada dalam keadaan kritikal, tetapi stabil selepas kecederaan dialami dalam kemalangan berkaitan cuaca semasa membersihkan salji awal pagi tadi,” katanya.
Menurut laporan majalah Vatiety, keluarga Renner kini sedang bersamanya dan pelakon itu menerima penjagaan yang sangat baik.
Renner, 51, memainkan watak adiwira popular Hawkeye/Clint Barton dalam francais Marvel, mendiami sebuah rumah di Washoe County, Nevada selama beberapa tahun.
Begitupun, tidak dapat dipastikan lokasi beliau mengalami kecederaan itu, sama ada di rumah atau mungkin di lokasi lain.
Menurut akhbar Reno Gazette-Journal, kawasan itu di utara Nevada menerima salji lebat akibat ribut pada malam tahun baharu.
Selain menjadi Avenger, Renner juga dua kali dicalonkan dalam Anugerah Oscar, memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik ketika berlakon dalam filem The Hurt Locker dan dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem The Town.
Pemilihannya sebagai bintang filem Avengers mengukuhkannya sebagai sebahagian daripada impian besar Marvel, dengan wataknya muncul dalam beberapa sekuel dan mendapat siri Disney+ sendiri, Hawkeye. – BOOM!