Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) telah memfailkan saman terhadap penganjur acara, Hitman Solutions Live Sdn. Bhd. , di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas dakwaan melanggar akta hak cipta karya muzik dalam beberapa konsert terdahulu.
Antara konsert yang menjadi tumpuan kes ini ialah Bunkface 15 Years of Korang, Raisa Live in Malaysia, Ne-Yo Live in Malaysia (2023), Blue Heart & Soul Tour 2023, serta Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota.
Menurut MACP, Hitman Solutions juga didakwa gagal memohon lesen untuk 13 konsert lain sepanjang tahun lalu, termasuk persembahan oleh artis terkenal seperti Jubin Nautiyal, Rizky Febian, Sum 41, Incubus, Dolla, dan Arijit Singh.
MACP dalam kenyataannya menegaskan, tindakan undang-undang ini adalah langkah penting untuk melindungi hak komposer, penulis, dan penerbit muzik tempatan serta antarabangsa.
“Langkah ini adalah komitmen kami untuk memperjuangkan keadilan dan memastikan pengkarya menerima pampasan yang adil bagi hasil karya mereka,” jelas kenyataan tersebut.
Kes ini dijangka didengar pada bulan April tahun depan. MACP terus menekankan pentingnya mendapatkan lesen yang sah sebelum penganjuran sebarang konsert bagi menghormati hak cipta dan usaha para pengkarya.
Hitman Solutions setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebut. – BOOM!