Penyanyi dan komposer muda, Firdaus Rahmat memulakan langkahnya dalam industri muzik tanah air dengan menganggotai kumpulan nasyid, 4aith kira-kira lima tahun lalu.
Pendekatan kumpulan yang dianggotai empat anak muda itu memang mudah, menjadikan lagu-lagu hit penyanyi Barat untuk tujuan dakwah seperti Despacito nyanyian asal Justin Bieber, Daddy Yankee dan Luis Fonsi sebelum masing-masing membawa haluan sendiri di penghujung 2018.
Lantaran, sekitar setahun lalu, Firdaus atau Muhammad Firdaus Rahmat, 24, memberanikan diri mengorak langkah solo dan hingga kini telah mengeluarkan tiga buah single.
Mengulas tentang single keduanya berjudul Sentiasa, Firdaus akui karya itu ditakdirkan untuknya setelah terkenang nostalgia manis yang tersurat menerusi bait-bait lirik.
“Penghasilan muzik video lagu itu mempotretkan suasana alam persekolahan, sekali gus mengimbas kenangan bergelar seorang pelajar.
“Sebaik mendengar versi demo, saya rasa ia amat berkait rapat dengan kisah peribadi saya sendiri.
“Lebih menarik, penggambaran klip video lagu ini berlatarbelakangkan bangunan sekolah yang menggamit nostalgia lampau,” ujarnya kepada Boom!.
Menurut pemuda itu, Sentiasa hakikatnya adalah kisah percintaan bersama isteri, Hafizah yang berputik sejak bangku sekolah lagi.
Berkongsikan tentang pemilihan Sentiasa sebagai runut bunyi siri Projek Anchor SPM, dia hanya menyanyikan versi demo karya tersebut dan tidak meletakkan harapan tinggi sekiranya tidak dipilih.
“Pada mulanya, saya diberikan tugas untuk menyanyikan versi demo sahaja dan akan diberikan kepada penyanyi lain untuk rakaman penuh.
“Tak sangka pula pihak label terus menawarkan peluang kepada saya untuk menyanyikan lagu ini sebaik mendengar penyampaian yang diberikan dalam versi demo,” jelasnya mengakhir perbualan bersama Boom!.