Penyanyi Shahir Zawawi kini sah bergelar suami kepada Jaskin Jaludin atau Ekin hanya dengan sekali lafaz dalam upacara pernikahan yang berlangsung di Bizmilla Wedding Centre, Subang kira-kira jam 9.10 malam tadi.
Pemilik nama Ahmad Shahir Zawawi, 34, itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Jaludin Nongce dengan disaksikan penolong daftar nikah, Muhammad Hakimi Mustapai dan bapa mempelai lelaki, Zawawi Abdullah.
Dalam majlis berkenaan, rombongan pengantin lelaki menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pengantin perempuan, manakala mas kahwin berjumlah RM300.
ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Takkan Larikan Diri!” – Shahir Zawawi Sedia Bersemuka Selesaikan Isu Hutang
Jumlah wang hantaran yang diberikan pihak lelaki kepada pengantin perempuan pula berjumlah RM20,000.
Shahir berkata, dia bersyukur kerana majlis akad nikahnya berjalan lancar seperti dirancang.
“Kepada keluarga dan rakan media, saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang telah bersama-sama membantu menjayakan majlis ni.
“Alhamdulillah, ini satu permulaan baru buat kami dan selepas ni, saya perlu memikirkan perancangan untuk kami berdua pula,” kata juara Akademi Fantasia musim kelapan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Didakwa Berhutang RM4,000, Shahir Perlukan Masa – “Saya Kena Periksa Dulu Sebab Tengah Sibuk”
Dia juga berharap perkahwinan yang didirikan itu akan berkekalan hingga ke akhir hayat..
“Saya berharap kami berdua dapat membina sebuah rumah tangga yang sihat dan berlandaskan agama.
“Saya amat bersyukur majlis pada malam ini berjalan dengan lancar,” jelasnya.
Pada 16 Julai lalu, penyanyi Dia Yang Kau Pilih itu mengikat tali pertunangan dengan Jaskin yang juga usahawan merangkap pemilik sebuah butik di Sabah. – BOOM!