Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau Mat London, 74, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 16 Jun lalu akibat jangkitan paru-paru kini berada dalam keadaan kritikal.
Menantunya, Muhamad Daniel Ahmad memaklumkan bapa mentuanya juga terpaksa ditidurkan berikutan keadaan paru-paru dan jantungnya sangat lemah.
“Papa dimasukkan ke hospital pada 13 Jun lalu akibat jangkitan kuman dalam paru-paru selepas mengadu tidak bermaya.
“Selepas dirawat di wad biasa, papa kemudian dipindahkan ke wad pengasingan. Berikutan keadaan kesihatannya yang semakin merosot, papa dipindahkan ke wad ICU untuk pemantauan rapi.
“Dan semalam, keadaan bertambah kritikal selepas papa tidak memberi sebarang tindak balas dan berada dalam keadaan separuh sedar.
“Susulan paras oksigen yang rendah dan kadar degupan jantungnya lemah, papa terpaksa ditidurkan.
“Memang papa sekarang berada dalam keadaan kritikal,” katanya.
Tambah Daniel, pengarah filem veteran itu juga mengalami pelbagai komplikasi penyakit lain yang turut menjejaskan kesihatannya.
“Selain jangkitan paru-paru dan keupayaan jantung untuk mengepam darah sangat lemah, papa juga mengalami masalah buah pinggang,” ujarnya.
Sehubungan itu, Daniel mengharapkan semua yang mengenali Mat London semoga dapat mendoakan kesejahteraan bapa mentuanya itu.
“Saya mohon kepada semua dapat mendoakan papa semoga kembali pulih seperti sedia kala selepas ini,” pinta Daniel.
Terdahulu, berita mengenai keadaan terkini Mat London turut dikongsi ahli FDAM dalam laman sosial. – BOOM!
Sumber: BH ONLINE