Kemunculan khas Che Puan Juliana Sophie Evans bersama puteri kesayangan Tengku Kamiliah Zanariah Ruby Ehsan Tengku Shariffudin Shah sebagai muse memperagakan koleksi terbaru Hatta Dolmat, mengejutkan ramai pihak.
Ini kerana ia merupakan penampilan pertama Juliana bersama puterinya itu di pentas peragaan.
Kemunculan istimewa tersebut menurut Hatta, sebagai tanda penghargaan kepada Juliana yang mula menyokong jenama Hatta Dolmat seawal penglibatan beliau dalam karier lakonan dan penyiaran.
Juliana dan puterinya hadir di pentas dengan koleksi Ready To Wear (RTW) Hatta Dolmat merangkumi 32 koleksi daripada ‘Jamais Vu’.
Antara himpunan koleksi RTW yang diketengahkan adalah Versatile,Casual from Denim, Army, dan Safari.
Selain itu, terdapat 24 lagi koleksi hasil kolaborasi bersama crafted by NX.
Menurut Hatta, tema koleksi kali ini bersifat peribadi.
Bertemakan istilah ‘Jamais Vu’ yang bermaksud tidak pernah dilihat dalam bahasa Perancis, himpunan koleksi ini membawa mesej berat yang cukup tersirat dengan mengangkat isu kesihatan mental.
Simbol bintang menjadi pilihan buat pereka fesyen tersohor tersebut setelah mendapat ilham untuk mencipta himpunan koleksi terbaru beliau.
“Pemilihan simbol bintang yang direka dan motif yang dilukis oleh saya sendiri ini seperti memberi harapan dan nafas baru kepada saya untuk tidak berputus asa selepas melalui satu fasa yang cukup sukar dalam hidup.
“Saya hampir diserang anxiety dan kemurungan.
“Demi menjaga kesihatan mental saya cuba bangkit kembali dan saya mahu abadikan dengan sentuhan peribadi dalam himpunan koleksi terbaru dengan penuh gaya tetapi masih mengekalkan falsafahnya yang tersendiri,” ujarnya.
Hatta Dolmat mula melibatkan diri dalam industri Fesyen Kelestarian dan Kemampanan Alam Sekitar semenjak 2015.
Hatta mula bergiat aktif dan serius dalam penghasilan pakaian berkonsepkan kelestarian alam sekitar pada tahun 2020.
Beliau telah melakar sejarah sebagai pereka fesyen lestari pertama dengan koleksi lestari di Malaysia dan mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records sebagai pereka fesyen Malaysia pertama yang merevolusikan penghasilkan pakaian berkonsepkan kelestarian dan kemampanan alam sekitar. – BOOM!