Aktor yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan iaitu Keith Foo beranggapan hubungannya dengan bekas isteri, Kim Raymond masih baik dan kekal berkawan.
Malah katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem Autumn In Wales baru-baru ini, Keith akui mereka berdua lebih serasi dan selesa menjadi kawan rapat.
“Lebih baik terus begini demi menjaga satu-satunya anak kami, Skylar Raymond yang baru berumur 5 tahun.
“Kami bersahabat demi anak. Saya tak mau anak membesar dalam keadaan yang tegang, melihat kami bergaduh,” ulasnya.
Tambah Keith, dia dan Kim bergilir-gilir menjaga Skylar jika salah seorang daripada mereka kesibukan gara-gara kerja.
Bahkan pelakon itu pada minggu lalu berkongsi video mereka bertiga menikmati percutian bersama-sama di media sosialnya.
“Tak mungkin kami akan bersama semula, biarlah bawa haluan sendiri,” ujar pemilik nama penuh Foo Chuan Chin, 39.
Keith dan Kim mendirikan rumah tangga pada November 2015 dan bercerai pada Disember 2019. – BOOM!