Penyanyi dan komposer, Aliff Iskandar, 22, bersyukur sementelah lagu ciptaannya, Bahagiakan Dia nyanyian Shila Amzah dan Liza Hanim tersenarai ke peringkat akhir Anugerah Industri Muzik (AIM 23).
Meskipun lagunya yang dinyanyikan sendiri gagal tercalon, Aliff atau Nor Aliff Iskandar Norazmi, 22, tetap berbangga dengan pencapaian julung kalinya menjadi finalis di majlis anugerah berprestij tersebut.
“Jujurnya, saya tak terkilan pun apabila lagu nyanyian sendiri gagal tercalon dalam penganjuran kali ini.
“Tetapi sebenarnya, rasa lebih bangga sebaik menyaksikan karya ciptaan saya lolos ke senarai akhir lima terbaik, malah dinyanyikan oleh dua penyanyi ternama tanah air.
“Apatah lagi, lagu nyanyian mereka berdua tercalon dalam dua kategori iaitu Runut Bunyi (OST) Terbaik Dalam Drama/Filem dan Persembahan Duo/Kolaborasi Terbaik Dalam Lagu.
“Jelas sekali kejayaan ini lebih bermakna dan membanggakan!” ulasnya yang juga merupakan seorang guru pendidikan khas.
Aliff menambah, dia percaya bahawa pencalonan diraihnya bagi edisi AIM 23 kali ini adalah satu titik mula yang baik dalam kerjayanya selaku penggubah lagu. – BOOM!