Pasangan selebriti popular Indonesia, Rizky Febian dan isterinya, Mahalini, kini berada di Tanah Suci Makkah bagi mengerjakan ibadah umrah. Momen indah ini dikongsikan Rizky menerusi Instagram (IG), mengundang perhatian ramai peminat.
“Alhamdulillah, pertama kali bawa isteriku tunai umrah,” kata Rizky dalam salah satu perkongsiannya.
Turut mencuri perhatian ialah penampilan Mahalini yang manis mengenakan hijab sepanjang berada di sana. Mahalini menerima pujian melimpah daripada peminat yang teruja melihat transformasinya.
Ruangan komen IG Rizky dipenuhi dengan kata-kata positif daripada netizen. Ramai memuji kecantikan Mahalini berhijab sambil menitipkan doa agar beliau terus istiqamah.
“Semoga terus istiqamah dan diberikan keberkatan dalam hidup sebagai saudara baharu,” tulis seorang peminat.
Terdahulu, pasangan ini bernikah semula pada 27 Disember 2024 setelah perkahwinan pertama mereka pada 5 Mei 2024 tidak memenuhi syarat rukun nikah mengikut hukum Islam. – BOOM!