Aktres terkenal Indonesia, Marshanda semalam membuatkan ramai peminatnya tersentak kerana terkejut mendengar pengakuan yang keluar dari mulutnya.
Marshanda atau nama sebenarnya Andriani Marshanda, 33, menerusi video di akaun YouTube miliknya mengakui telah disahkan menghidap kanser sambil menitiskan air mata.
“Saya kini di Singapura untuk menjalani MRI. Saya di sini untuk berjuang demi kesihatan saya yang menghidap kanser payudara,” maklumnya.
Biarpun perasaannya bercampur baur, Marshanda menyatakan bahawa dirinya tidak takut untuk berhadapan kematian.
“Kematian adalah putaran hidup dan kita harus hadapinya walaupun tidak mahu. Anda semua jangan khuatir, tolong doakan sahaja,” ucapnya memanjatkan doa.
Menyedari bahagian dadanya mula berasa sakit sejak setahun lalu, ibu kepada seorang cahaya mata itu akur jika ditakdirkan umurnya pendek.
Lebih menyentuh hati, dia turut berkesempatan meninggalkan pesan kepada satu-satunya anak, Sienna hasil perkahwinan dengan bekas suami, Ben Kasyafani.
“Sekiranya ibu sudah tiada, terus doakan ibu ya,” katanya lantas berderaian air mata yang semakin laju membasahi pipinya. – BOOM!