Bapa kepada seorang pelakon wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas kesalahan
mengugut dengan mengeluarkan sepucuk pistol terhadap seorang lelaki pada 2 November lalu.
Tertuduh, Mejar (B) Harizal Hashim, 49, bapa Nynaa Harizal iaitu pelakon drama Kekasih Paksa Rela membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Harizal didakwa telah menakutkan Mohamad Nur Usry Mohd. Yusoff, 25, dengan mengeluarkan sepucuk pistol jenis CZP-07.
Dia yang juga seorang bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat Mejar didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan U13/25J, Jalan Setia Perdana, Alam Nusantara, Setia Alam pada pukul 1.40 pagi pada 2 November lalu.
Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman menawarkan jaminan RM5,000.
Tertuduh turut memohon tempoh untuk perbicaraan akan datang memandangkan buat masa ini dia sedang mengupah peguam bagi menguruskan proses perceraian anak perempuannya secara baik.
Mahkamah menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Disember untuk sebutan.
Media sebelum ini melaporkan suami kepada pelakon Nynaa iaitu Mohamed Fahmi Ilyas membuat laporan polis berhubung dakwaan yang mengatakan isterinya diculik oleh bapa mentuanya pada malam 1 November lalu.
Lebih mengejutkan, Harizal mengacukan sepucuk pistol ke arah perut pengawal peribadi Nynaa sambil memberi amaran akan melepaskan tembakan jika menghalangnya untuk mengambil pelakon terbabit. – BOOM!