Dua pempengaruh perniagaan atas talian terkenal, Khairul Aming dan Pinn Yang, kini berada di China untuk menimba ilmu baharu tentang ‘live streaming E-Commerce’ yang semakin berkembang di negara tersebut.
Menerusi perkongsian di Instagram, Khairul Aming, atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, berkongsi video ketibaan mereka di China, sambil menitipkan ucapan ringkas.
Pemergian mereka bertujuan mendalami strategi perniagaan secara langsung (live streaming) yang telah membangunkan industri e-dagang di negara itu.
“Semalam (Isnin), kitaorang ‘all out’ untuk kempen 11.11 dan Alhamdulillah, saya berjaya capai jualan sebanyak RM1 juta, dan Pin Yang pun hampir RM1 juta,” kongsi Khairul, yang hanya sempat berehat dua jam sebelum berangkat ke Shanghai.
Menurut Khairul, mereka akan berusaha sepenuhnya dan berhasrat untuk berkongsi segala ilmu yang diperoleh bersama para peniaga atas talian di Malaysia.
“Kitaorang datang sini nak belajar fasal ‘E-Commerce live streaming’ di China and kita akan bawak balik sebanyak mungkin ilmu untuk share dengan peniaga atas talian di Malaysia,” ujarnya lagi.
Di ruangan komen, para pengikut meluahkan rasa bangga dan teruja dengan semangat serta kejayaan dua anak muda Malaysia ini yang tekad menimba ilmu untuk mengembangkan lagi bisnes mereka. – BOOM!