Sebut sahaja nama Aina Abdul, bukan sahaja kita akan terngiang-ngiang kelunakan vokaln padunya, malah pasti akan teringat fesyen busananya yang sentiasa unik.
Seperti diduga, fesyen Aina untuk Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL 36) semestinya menjadi perhatian dan bualan ramai.
Mempertaruhkan dua buah lagu pada malam Ahad lalu, Aina tampil dengan dua busana avant-garde dengan kisah yang berbeza di sebalik setiap rekaan.
Untuk lagu duetnya bersama Khai Bahar berjudul Nafas Cinta, gadis berkenaan tampil dengan busana persis pokok bunga rekaan Melinda Looi.
Menurutnya, sewaktu bertemu dengan Melinda, dia cuma memberitahu bahawa inginkan sesuatu yang mekar.
“Saya hanya beritahu dia satu perkataan sahaja bahawa saya mahukan sesuatu yang mekar.
“Lagu Nafas Cinta adalah sesuatu yang baharu dan mekar. Maka Melinda intepretasikannya menjadi bunga dan terhasillah satu busana yang mega, dipenuhi bunga dan ranting.
Bagi persembahan lagu Sepi pula, Aina tampil dari hujung rambut hingga ke hujung kaki menggayakan persalinan rona emas bersaiz ekstra.
Kata Aina, inspirasi di sebalik busana rekaan T Syahmi itu adalah warna trofi-trofi ikonik anugerah berprestij.
“Kalau kita lihat anugerah Grammy, Oscar dan AJL, trofinya semua berwarna emas. Jadi kita cuba bagi vibe, kalau tak menang pun, kita masih boleh rasa seperti pemenang.
“Saya harap semua suka dengan penampilan saya pada malam ini. Terima kasih kepada panata gaya saya iaitu Abu Shaf Hamza kerana merealisasikan penampilan saya pada malam ini dengan jayanya,” ujarnya.
Pada malam AJL 36, Aina atau nama penuhnya Nurul Aina Abdul Ghani, 29, memenangi dua trofi iaitu Vokal Terbaik dan Penyanyi AJL Popular bersama Khai Bahar. – BOOM!