Buat julung kalinya, Sony Music Malaysia mempertemukan dua bintang terkenal, Vanessa Reynauld dan Rebel Asia , dalam sebuah single hebat bertajuk ” To The Finish Line “. Lagu ini menjadi runut bunyi rasmi (OST) untuk filem yang bakal menggegarkan layar perak, ” Soloz Game of Life “, pada 23 Januari 2025.
Filem ini berkisar tentang perjalanan penuh emosi dan mencabar dalam dunia e-sukan Mobile Legends. “To The Finish Line” membawa mesej ketabahan, keberanian, dan kesatuan yang menggambarkan semangat cerita ini.
“Lagu ini berentak ‘upbeat’ untuk menggambarkan suasana dunia permainan video. Ia juga melengkapkan pengakhiran filem, sebab itulah tajuknya ‘To The Finish Line’,” kata Vanessa.
“Kami mahu menghasilkan sesuatu yang berkait rapat dengan dunia permainan video,” kata Rebel Asia.
Vanessa mengakui bahawa genre lagu ini membuka dimensi baru dalam perjalanan seninya.
“Saya tak pernah menyanyikan lagu sebegini. Kerjasama dengan DJ dan elemen AI sangat mencabar tetapi menyeronokkan,” jelasnya.
Bagi Rebel Asia, pengalaman ini juga membawa kelainan.
“Genre EDM pop ini sesuatu yang segar buat saya, dan saya teruja dapat mencuba,” tambahnya.
Kolaborasi mereka ternyata membuahkan hasil memuaskan, malah Vanessa sangat menghargai gaya rap Rebel Asia.
“Saya gembira dapat bekerjasama dengannya,” tambahnya.
Kini, “To The Finish Line” boleh didapati di semua platform strim digital seperti Apple Music, Spotify, dan YouTube Music. Video muzik rasmi pula akan dilancarkan di YouTube SonyMusicMYVEVO tidak lama lagi. – BOOM!