Selepas berakhirnya program realiti Pilih Kasih (PK) terbitan Suhan Movies di TV1 pada 2009, anak didik kepada Datuk Rosyam Nor seperti Zulin Aziz, Reza Hasbi, Ana Dahlia, Bella Dally dan Diwan Nawi mula menunjukkan sinar di persada lakonan tempatan.
Namun di kala namanya sedang mendaki, kelibat Diwan atau Redzuan Rosli, 31, secara tiba-tiba lenyap. Bukan sekejap, malah sedekad lamanya anak jati kelahiran Kelantan itu hilang dari radar seni tanpa sebarang berita.
Ditemui pemberita baru-baru ini, Diwan mendakwa, dirinya telah difitnah hingga timbulnya konflik dengan mentor sendiri iaitu Rosyam atau Mohamed Noor Shamsuddin yang sinonim dengan watak Castello, sekali gus menjadi punca dia membawa diri.
Kata Diwan, dia dilabel tidak berdisiplin kerana dituduh melanggar peraturan ditetapkan penganjur apabila membenarkan dua peserta PK yang disingkir menginap di biliknya sebelum berlangsungnya episod final rancangan tersebut.
“Kejadian itu lantas menjejaskan peluang saya pada malam kemuncak berkenaan. Namun saya bersyukur kerana rezeki masih berpihak kepada saya sementelah sering mendapat peluang berlakon drama terbitan RTM dengan mendukung watak hero.
“Pun begitu, pandangan serta tanggapan khalayak sukar untuk disangkal mahupun diubah, secara tidak langsung dirinya dibenci segelintir individu yang menyempitkan ruang saya untuk terus mengasah bakat sebagai pelakon.
“Sebab itulah saya ambil keputusan undur diri dan cari bekalan ilmu secukupnya sebelum membuat kemunculan semula demi buktikan kepada semua bahawa Datuk Rosyam tidak silap memilih saya.
“Hari ini, saya dengan bangga mengumumkan penubuhan syarikat produksi sendiri berbekalkan ilmu yang beliau (Rosyam) curahkan dahulu,” katanya yakin.
Tambahnya, syarikat tunggal didaftarkan dengan nama Neo Diwannawi Production terletak di Kubang Kerian, Kelantan itu dibina bersama rakan niaga, Prof Dr Abdul Aziz Al-Safie dan sedang giat menghasilkan drama serta dokumentari pendek.
Bercerita lanjut, tempoh sepuluh tahun berdiam diri sebenarnya membuka jalan kepadanya mencuba pelbagai jenis perniagaan demi kelangsungan hidup dan antaranya ialah berniaga nasi campur dan kuih-muih di tepi jalan serta pernah bergelar ejen insurans.
“Saya tahu Datuk Rosyam juga melakukan macam-macam kerja bermula dari bawah sebelum beliau berjaya. Justeru, saya kuatkan semangat hinggalah bertemu dengan Prof Aziz. Alhamdulillah, atas kegigihan dan kesabaran kami mengumpulkan modal, akhirnya Neo Diwannawi Production mula beroperasi.
“Disebabkan saya amat menghormatinya, nama komersial Diwan Nawi yang dicetuskan beliau sewaktu menyertai Pilih Kasih dahulu diguna pakai hingga ke hari ini dan diabadikan di papan tanda nama syarikat saya,” katanya bagi menghargai jasa baik aktor ikonik tempatan yang dilabel Hero Malaya itu. – BOOM!