Kumpulan terkenal Indonesia, Maliq & D’Essentials, terpaksa menunda konsert mereka, Maliq & D’Essentials Album Tour Kuala Lumpur, yang dijadualkan berlangsung pada 29 Disember 2024 di Megastar Arena.
Perkara itu diumumkan menerusi kenyataan rasmi di Instagram kumpulan tersebut.
“Dengan penuh rasa rendah diri, kami ingin memaklumkan bahawa Maliq & D’Essentials Album Tour Kuala Lumpur, yang dijadualkan berlangsung pada 29 Disember 2024, terpaksa ditunda ke tarikh baharu yang akan diumumkan kelak,” tulis mereka.
Pihak penganjur, Kharisma Music International, menjelaskan bahawa penundaan ini dibuat atas faktor yang tidak dapat dielakkan. Mereka memohon maaf atas kesulitan yang dialami, terutamanya kepada peminat yang sudah membeli tiket.
Maliq & D’Essentials turut mengesahkan bahawa tiket yang telah dibeli masih sah untuk konsert yang akan diumumkan pada tarikh baharu.
“Kami akan berkongsi maklumat lanjut mengenai tarikh baharu dan proses pemulangan wang secepat mungkin. Kasih sayang dan sokongan anda lebih bermakna daripada yang dapat diungkapkan dengan kata-kata,” tambah mereka.
Maliq & D’Essentials, yang ditubuhkan sejak tahun 2002, berjanji untuk memberikan pengalaman yang bermakna kepada peminat apabila konsert ini akhirnya dapat dilangsungkan.
“Sehingga bertemu lagi, jaga diri, teruskan berinspirasi, dan ketahuilah bahawa kami akan bersama tidak lama lagi,” tambah kumpulan itu lagi.
Menjengah ke ruangan komen di media sosial, ramai peminat meluahkan rasa marah dan sedih. Ada yang sudah membuat tempahan hotel dan membeli tiket penerbangan semata-mata untuk menonton konsert tersebut.
Meskipun keputusan ini mengecewakan ramai, sokongan dan kasih sayang peminat terus menjadi pendorong utama buat kumpulan yang ikonik dalam arena muzik Indonesia ini. – BOOM!