Setelah meledak dengan debut Bagaimana, duet bersama Muna Shahirah yang layak memasuki carta Semifinal Muzik-Muzik ke-36 tahun lalu, Zack Zakwan mengukuhkan lagi tapaknya menerusi single terbaharu berjudul Terluka.
Apa yang mengujakan, menurut Zack atau Muhamad Shahrul Mohd Zakuan, 27, Terluka digubah oleh komposer senior yang terbukti lagu-lagunya malar segar sehingga kini iaitu Zul 2By2 atau nama penanya Aiman Zul.
“Penyanyi baharu seperti saya memang memerlukan lagu berkualiti dan mempunyai melodi yang boleh buat pendengar turut sama menyanyi,” jelas Zack.
Terluka, lagu ciptaan Aiman Zul manakala lirik oleh Pujangga Malam dan Anje Maya menyuntik ‘feel’ zaman kegemilangan kumpulan remaja lewat 90-an.
“Sumpah lagu ni best sangat, bila dengar melodi lagu ni mula-mula saya terbayang kumpulan New Boyz, Boboy, Spin dan seangkatan mereka.
“Tapi apabila lagu sedap, cabarannya pasti besar,” ujar Zack yang sudah mempunyai tiga single iaitu Kenangan, Diselubung Rindu dan Bagaimana.
Bercakap tentang Terluka, Zack tidak kisah jika ada pendengar menyamakannya dengan Tomok.
“Jujur saya katakan, saya tidak meniru sesiapa. Apa yang saya tonjolkan itu adalah diri sendiri dan mungkin kebetulan feel lagu ini berjiwa begitu,” akhirinya.
Pada masa sama, Zack berharap single ke-4 itu membawa tuah untuknya berdiri sebagai penyanyi solo dan tidak bersandarkan kepada populariti karya duet sebelum ini semata-mata. – BOOM!