Tersingkir pada minggu kelima setelah menyampaikan lagu Ku Mahu dendangan asal Datuk Seri Siti Nurhaliza, Sofia Marieylla akui tidak ada sebarang penyesalan yang dirasainya.
Sebaliknya Sofia atau nama sebenarnya Wan Siti Maryam Wan Mahyudin, 22, berkata, dia mempunyai satu prinsip yang dipegangnya dalam mengharungi kehidupan sehari-hari.
“Lebih baik mati mencuba daripada mati tanpa berbuat apa-apa. Jangan takut buat benda baharu dalam hidup kita.
“Inilah prinsip yang sentiasa saya pegang jika ingin membuat sesuatu.
“Walaupun perjuangan saya terhenti di minggu kelima, sedikit pun tidak berasa kesal. Sebaliknya saya berbangga atas pencapaian yang dimiliki.
“Jujurnya saya tak pernah sangka akan berada pada tahap ini, apatah lagi saya tiada ilmu dalam bidang muzik dan masih mentah,” ujarnya yang menghargai peluang diberikan Astro untuk menyertai Big Stage 2022 (BS 2022).
Tambah Sofia, dia berasa gembira sepanjang bersaing bersama para peserta lain kerana telah berusaha sehabis baik dan semampu mungkin.
“Saya cuba yang terbaik semata-mata untuk hiburkan semua orang yang menonton persembahan saya.
“Cuma mungkin sebab kekurangan pengetahuan dan pengalaman, rezeki saya cukup sekadar minggu ini saja,” akui Sofia sambil berharap masa depannya dalam industri lebih memihak kepadanya. – BOOM!