Selepas mendedahkan dirinya dan suami sudah tidak lagi tinggal sebumbung sejak hujung tahun lalu, akhirnya penyanyi popular antarabangsa, Shila Amzah sah bercerai dengan bekas suaminya, Haris Idraki Elias pada Selasa.
Berita mengenai penceraiaannya itu dikongsikan Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Hamzah, 32, menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di laman Instagram (IG).
“Alhamdulilah, kes dengan bekas suami dah selesai tadi (Selasa). Kita akan berusaha jaga dan sayangi Seth (anak lelaki mereka) sampai bila-bila. Terima kasih kepada semua yang mendoakan,” tulisnya pada bahagian kapsyen.
Sementara itu, menerusi sebuah video yang dimuat naik di IG Story, Shila menjelaskan bahawa semua orang yang berkahwin adalah demi mencari kebahagiaan, bukannya untuk berpisah.
“Tiada orang di dalam dunia ini yang berkahwin untuk bercerai. Apa saja kemungkinan dan kemudaratan yang berlaku kepada diri kita , pasti ada hikmahnya. Jadi let’s move on dan buat yang terbaik untuk teruskan kehidupan,” kata finalis Anugerah Juara Lagu Ke-36 menerusi lagu Pelukan Angkasa itu.
Shila dan Haris telah berkahwin pada April 2018 dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Seth Uwais yang kini berusia setahun lebih. – BOOM!