Diumumkan selaku penerima trofi Komposer Muda Berpotensi pada majlis Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2021 baru-baru ini, Zyn Akal akui tergamam sampai kelu lidahnya.
Pernah dilabel sebagai artis bermasalah, Zyn atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli, 24, menzahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana berjaya memperoleh kejayaan, sekali gus menutup tirai 2021 dengan seribu kemanisan.
“Jujurnya saya memang tak tahu langsung tentang penamaan mahupun pemilihan berkaitan anugerah ini. Kehadiran saya cuma untuk memeriahkan majlis.
“Ingatkan pihak MACP undang saya hanya sebagai tetamu, tak sangka pula sebenarnya bagi menerima trofi kemenangan ini,” ulas Zyn terhadap pencapaian tertinggi pernah diraihnya itu sejak bergelar komposer.
Segak menggayakan sepasang sut rona hitam, pencipta lagu Sakit yang mencatat angka tontonan sebanyak 46 juta kali di platform YouTube itu menambah, terdapat ramai calon lain lebih bagus dan layak berbanding dirinya.
“Memang terkejut. Pertama, sebab saya masih baharu. Kedua, bagi saya, ramai lagi calon lain lebih bagus dan layak berbanding saya.
“Apapun, inilah dinamakan rezeki. Alhamdulillah. Itu saja mampu saya katakan buat masa ini,” tuturnya dalam nada penuh teruja serta gembira. – BOOM!