Bek kanan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Mohd Rizal Ghazali, mengejutkan peminat bola sepak tempatan apabila telah selamat menamatkan zaman bujangnya bersama wanita pilihan hati pada Sabtu, 25 Januari lalu.
Berita gembira itu dikongsikan Rizal menerusi laman Instagram dengan memuat naik gambar dirinya mengenakan baju Melayu putih sedondon dengan isterinya. Turut dikongsikan, ucapan tahniah daripada rakan-rakan dan ahli keluarga.
Perkongsian Rizal sekaligus mengakhiri spekulasi mengenai hubungannya dengan bekas kekasih terdahulu yang dikenali sebagai Dr. Hana Rose. Sebelum ini, hubungan mereka pernah menjadi bualan hangat, lebih-lebih lagi selepas kontroversi yang melibatkan Rizal pada Jun 2023.
Dalam insiden itu, Rizal berhadapan dengan dua pertuduhan membabitkan kerosakan telefon bimbit dan kecederaan terhadap bekas kekasihnya di sebuah hotel. Walaupun kes tersebut mencetuskan perhatian ramai, Rizal kini dilihat berusaha melangkah ke fasa baharu dalam hidupnya.
Musim ini menyaksikan Rizal kurang beraksi bersama Kedah, dipercayai susulan tindakannya bersama beberapa pemain lain yang memboikot perlawanan akibat isu tunggakan gaji kelab. Penampilan terakhirnya ialah pada 18 Disember lalu ketika Kedah menewaskan Penang FC 1-0 di gelanggang sendiri.
Semoga Rizal terus menempa bahagia, baik dalam kehidupan peribadi mahupun karier bola sepaknya. – BOOM!