Lebih dikenali di Indonesia ekoran penyertaan dalam program realiti nyanyian popular, D’Academy Asia musim kelima (DAA5) pada 2019, Erin CTJ akur namanya di tanah air sendiri masih pudar.
Malah Erin atau Siti Erinshahira Jamalludin, 17, yang mula menyanyi sejak bangku sekolah rendah itu mengakui bakatnya diterima dengan baik oleh peminat-peminat dari negara jiran.
“Tipulah kalau kata saya tak kecewa dengan situasi yang dialami ini. Apatah lagi ia berlaku di negara sendiri.
“Saya pun tak pasti asbabnya. Rasa macam pengemis pula kalau nak berkarya di sini,” luah Erin bernada kecewa.
Tambah Erin, dia telah mencuba bermacam-macam cara dan berhadapan pelbagai rintangan, namun kewujudannya tetap tidak disedari khalayak.
“Bukan saya sahaja, bahkan sesiapa pun akan kecewa apabila kehadirannya diendahkan.
“Tetapi saya tak nak jadikan hal ini sebagai alasan, sebaliknya berusaha lebih keras mencari jalan untuk memajukan diri,” tekadnya.
Meski bakatnya lebih dihargai orang luar, Erin masih berpegang teguh dengan prinsip mahu mendahulukan karier seninya di Malaysia sebelum mengorak langkah meneroka jau ke luar negara.
“Berdasarkan pemerhatian secara rambang, peminat di sini sukakan sesuatu yang benar-benar berbeza dan unik.
“Sebab itu agak mencabar untuk menambat hati mereka, sekali gus bina nama di tanah kelahiran sendiri,” ujarnya mengikut firasat.
Sementara itu, dia yang cenderung menyanyikan lagu bergenre dangdut telah pun melahirkan dua single berjudul Arjunaku dan Jalan Duta dalam tempoh setahun.
Menurutnya, Jalan Duta disaluti keunikkan tersendiri dari aspek melodi, lirik dan juga tajuknya.
“Setelah pendengar menghayati lagu ini, saya yakin dan tidak hairan jika ia bakal menjadi siulan ramai,” ujarnya meletak harapan.