Selepas kembali menyandang status isteri, pelakon veteran, Mak Wan yang terkenal dek aksi latahnya kini berpindah ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan mengikut suami baharunya.
Pemilik nama penuh Halimaton Saadiah Mohd Daud, 61, itu memberitahu, dia telah dilamar oleh Hussien Dollah, 71, pada 22 Januari lalu.
“Suami menetap dan mengusahakan kebun di sana. Lagipun anak-anak dah setuju dan memahami keputusan saya.
“Saya akan berulang-alik dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur jika ada penggambaran,” maklumnya.
Menurut Mak Wan, upacara akad nikah mulanya dirancang sebaik pulang daripada menunaikan ibadah umrah pada Disember lalu.
Namun terpaksa ditangguh memandangkan dia menjadi kontak rapat kepada adiknya yang disahkan positif Covid-19.
“Nak tak nak, saya perlu jalani tempoh kuarantin kendiri selama dua minggu dan lepas tamat, barulah sempat menjadualkan semula tarikh nikah atas bantuan anak,” jelasnya sambil meluahkan rasa syukur atas kelancaran majlis yang berlangsung di Pejabat Agama Ipoh, Perak.
Hasil perkahwinan terdahulu, Mak Wan mempunyai empat cahaya mata, manakala Hussien pula dikurniakan dua orang anak. – BOOM!