Lagu ikonik “All I Want For Christmas Is You” terus menjadi simbol kegembiraan musim Krismas di seluruh dunia. Dinyanyikan oleh penyanyi legenda, Mariah Carey, lagu ini bukan sahaja kerap berkumandang sepanjang perayaan tetapi juga menjadi penyumbang besar kepada kekayaan Mariah.
Lagu yang dihasilkan sejak tahun 1994 itu dilaporkan memberikan pulangan royalti RM13.4 juta setahun, menjadikan jumlah keseluruhan pendapatan sepanjang tiga dekad mencecah RM267 juta.
Dengan melodi yang dekat di hati dan lirik yang membawa keceriaan, lagu ini telah distrim lebih 1.9 bilion kali di seluruh dunia dan terus menjadi pilihan utama sepanjang musim Krismas.
Tidak hanya popular di corong radio, “All I Want For Christmas Is You” turut dicipta dalam versi nyanyian semula oleh ramai penyanyi terkenal seperti Justin Bieber.
Kegemilangan lagu ini juga membawa gelaran ‘Ratu Krismas’ kepada Mariah Carey. Kehebatan persembahannya yang penuh emosi dan aura yang memukau membuktikan mengapa lagu ini tetap menjadi pilihan meskipun tanpa kehadiran salji di negara tropika seperti Malaysia.
Setiap tahun, pendapatan royalti lagu ini terus melonjak, memperkukuhkan status Mariah sebagai salah satu figura ikonik muzik antarabangsa.
Seiring dengan kreativiti masyarakat menghias pokok Krismas dan menanti detik tahun baharu, “All I Want For Christmas Is You” menjadi pengiring yang melengkapkan suasana. Tidak hairanlah Mariah terus dikenang sebagai simbol kehangatan dan kegembiraan Krismas di serata dunia. – BOOM!
Sumber: Good Housekeeping