Sedia maklum, kumpulan penyanyi wanita berasal dari England, Little Mix telah memenangi pertandingan nyanyian realiti popular, X- Factor sedekad yang lalu.
Kumpulan yang asalnya berempat kini hanya tinggal tiga ahli sahaja iaitu Leigh-Ann Pinnock, Perrie Edwards dan Jade Thirlwall.
Walaupun tanpa Jesy Nelson yang mengambil keputusan untuk bergerak secara solo pada tahun lalu, mereka masih rancak menghasilkan produk baharu.
Mengimbas kembali saat menghadiri sesi uji bakat pada 2011, waktu itu mereka tidak mengenali satu sama lain kerana hadir sebagai peserta solo dan masing-masing gagal mara ke peringkat seterusnya.
Tetapi juri program tersebut, Kelly Rowland berpendapat, keempat-empat mereka perlu diberi peluang untuk beraksi dalam satu kumpulan.
Little Mix melancarkan album sulung mereka berjudul DNA pada 2012, sekali gus merekod kejayaan tersendiri apabila berada di kedudukan 10 teratas di sepuluh negara termasuklah United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Kumpulan tersebut juga berjaya menjual lebih daripada 60 juta album sepanjang 10 tahun bertapak dalam industri muzik antarabangsa.
Menerusi Instagram, mereka memuat naik sebuah video kenangan bagi mengenang semula detik permulaan ketika menyertai X- Factor yang meninggalkan impak besar dalam hidup mereka.
“10 tahun lalu kami telah menang di X – Factor, detik yang banyak mengubah hidup kami. Terima kasih atas sokongan kalian sepanjang selama ini.
“Mulanya memang tak disangka kami akan menjuarai X- Factor, malah untuk kekal di minggu pertama pun rasa tak yakin,” kata Perrie.
Selain itu, mereka juga merupakan kumpulan Britain pertama yang berjaya menduduki kelompok empat terbaik dalam carta Billboard Top 200 pada 2013.
Antara lagu Little Mix yang masih popular sehingga kini ialah Secret Love Song, Sweet Melody dan Shout Out To My Ex. – BOOM!