Pelakon Jasmine Suraya Chin, 36, meluahkan rasa paniknya selepas kebakaran baharu berlaku di utara Los Angeles, Amerika Syarikat, pada Rabu lalu. Walaupun kediamannya di West Hollywood tidak terjejas kerana jauh dari lokasi kebakaran, Jasmine tetap risau dengan perkembangan itu.
“Semua orang terkejut, bagaimana boleh terbakar lagi? Hari ini saya tak henti-henti terima pemberitahuan terkini kebakaran. Dari 10 ekar, api sudah merebak jadi 11,000 ekar. Saya memang kena peka, tapi sejak kebakaran mula lagi saya sudah fobia,” katanya kepada Harian Metro.
Kebakaran kali kedua itu berlaku berhampiran tasik kira-kira 56 kilometer dari LA, yang menyebabkan arahan pemindahan dikeluarkan kepada 31,000 penduduk di kawasan sekitar Santa Clarita.
Menurut Jasmine, suasana panik semakin terasa apabila ada rakan mengambil keputusan untuk berpindah segera.
“Kawan saya sudah kemaskan pakaian dan akan pindah ke Miami esok. Saya pun terfikir-fikir kalau nak ke tempat lain buat sementara waktu, tapi saya masih ada kelas dan tak bercuti,” jelas Jasmine, yang kini menyambung pengajian di Lee Strasberg Theatre & Film Institute, LA.
Pelakon filem Paskal itu turut berkongsi keterujaannya untuk pulang ke Malaysia pada April depan.
“Saya sangat rindukan tanah air, terutama makanan yang sedap-sedap. Dalam masa sama, pengurus saya sedang berbincang dengan produksi untuk menerima tawaran projek lakonan semasa cuti hampir tiga bulan,” tambahnya.
Kebakaran yang merebak dengan cepat itu membangkitkan rasa bimbang ramai, tetapi Jasmine berharap situasi akan segera terkawal agar penduduk terlibat dapat kembali selamat. – BOOM!
Sumber: Harian Metro