Anggota kumpulan terkenal One Direction buat pertama kali berkumpul semula selepas sembilan tahun untuk memberikan penghormatan terakhir kepada rakan mereka, Liam Payne.
Bekas ahli kumpulan, Harry Styles, 30, Niall Horan, 31, Zayn Malik, 31, dan Louis Tomlinson, 32, dilihat hadir bersama di gereja untuk upacara pengebumian Liam yang diadakan secara tertutup di Amersham, Buckinghamshire, pada Rabu.
Mereka hadir bagi mengiringi perpisahan terakhir buat Liam, 31, yang meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat tiga sebuah hotel di Buenos Aires, Argentina, bulan lalu.
Keranda Liam tiba di Gereja St Mary menggunakan kereta kuda putih yang membawa bunga bertulis “anak” dan “ayah”. Suasana duka menyelubungi apabila empat pembawa keranda membawa keluar jasad Liam diiringi oleh ibu bapa dan bekas pasangannya, Cheryl.
Turut kelihatan adalah bunga berbentuk pin boling, melambangkan hobi kegemaran Liam yang dikenang oleh keluarga dan teman rapatnya.
Kehadiran peminat di lokasi adalah minima, menghormati privasi keluarga, selepas ahli forum peminat di Reddit mengingatkan bahawa “peminat hadir di memorial, tetapi pengebumian adalah untuk keluarga”.
Liam Payne dilaporkan meninggal dunia pada 16 Oktober lalu akibat kecederaan dalaman dan luaran yang serius.
“Kami sangat berduka. Liam akan sentiasa hidup dalam hati kami, diingati kerana keberanian, humor, dan jiwanya yang baik,” memetik kenyataan keluarganya.
Kehilangan Liam bukan sahaja menyentuh hati keluarga dan rakan-rakan, tetapi juga meninggalkan kesan mendalam kepada peminat di seluruh dunia.
Sumber: BBC