Penangan filem KKN Di Desa Penari yang kini sedang ditayangkan di pawagam bukan saja menghantui para penonton di Indonesia, malah keseramannya turut dirasai di Malaysia.
Bukan itu sahaja, disebabkan fenomena filem berkenaan, populariti dikecapi enam pelakon utamanya juga meledak di pelusuk nusantara terutama hero kacak yang mendukung watak bernama Bima.
Dijayakan oleh Achmad Megantara, 26, aktor muda itu bukan sahaja menempa nama dalam bidang lakonan sebagai pelakon, bahkan pada masa sama karier nyanyiannya juga meningkat naik.
Selain memulakan langkah menjadi pelakon pada 2015 menerusi filem Berpacu Mengejar Pempek Melodi, Achmad juga bergandingan dengan Rey Mbyang membentuk duo yang dinamakan ReyGan.
KKN Desa Penari mengalami dua kali penundaan tayang akibat pandemik Covid-19 dan turut dibintangi barisan pelakon lain seperti Tissa Biani, Adinda Thomas, Aghniny Haque, Calvin Jeremy dan Fajar Nugraha.
Menjengah sisi peribadinya, Achmad pernah bercinta dengan aktres Syifa Hadju, namun hubungan mereka terputus di pertengahan jalan.
Kemudiannya dia memilih Asri Faradila Sam Putri sebagai suri hatinya dan mereka baru saja mendirikan rumah tangga pada tanggal 22 Januari lalu. – BOOM