Pelakon terkenal Korea Selatan, Park Sung-hoon , mengundurkan diri daripada projek drama “The Tyrant’s Chef” setelah menerima kritikan berkaitan hantaran di media sosial. Keputusan ini diumumkan oleh syarikat produksi Studio Dragon pada 12 Januari lalu.
“Selepas perbincangan antara pasukan produksi dan agensi Park Sung-hoon, kami telah membuat keputusan bahawa beliau tidak akan menyertai projek ini,” jelas kenyataan rasmi dari Studio Dragon.
Park Sung-hoon, yang baru-baru ini memainkan watak transgender Hyun-ju dalam “Squid Game 2”, mencetuskan kontroversi selepas memuat naik sebuah gambar di Instagram Stories pada 30 Disember. Walaupun hantaran tersebut segera dipadamkan, ia menimbulkan perbincangan dalam kalangan peminat dan netizen, lebih-lebih lagi ketika negara sedang berkabung susulan tragedi nahas Jeju Air pada 29 Disember yang meragut 179 nyawa.
Agensi Park Sung-hoon, BH Entertainment, menjelaskan bahawa insiden tersebut tidak disengajakan.
Park Sung-hoon turut membuat permohonan maaf secara terbuka ketika sesi wawancara “Squid Game 2” pada 8 Januari, namun gesaan untuk beliau menarik diri daripada “The Tyrant’s Chef” terus meningkat.
Menurut laporan media Korea, pelakon Lee Chae-min, yang popular dengan drama “Hierarchy” (2024), kini sedang dalam perbincangan untuk mengambil alih peranan utama dalam drama tersebut. Drama ini turut dibintangi Yoona daripada kumpulan Girls’ Generation, yang akan melakonkan watak tukang masak yang merentasi masa dan bertemu dengan seorang raja. – BOOM!