Dunia hiburan Korea dikejutkan dengan pemergian pelakon, Park Min-jae, yang meninggal dunia secara tiba-tiba akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke China pada Jumaat lalu.
Kematian pelakon drama Little Women itu disahkan oleh adiknya menerusi satu hantaran di Instagram. Dalam luahannya, adik mendiang berharap agar peminat terus mengingati karya-karya hebat pelakon berusia 32 tahun itu.
“Abang kesayangan saya telah pergi berehat buat selama-lamanya. Saya harap ramai yang dapat mengingati abang saya. Dalam masa sama, saya tidak mampu menghubungi semua orang secara individu untuk memaklumkan perkara ini,” tulisnya.
Pihak agensi Park Min-jae turut mengeluarkan kenyataan rasmi mengesahkan berita tersebut dan meminta semua pihak memberikan ruang kepada keluarga untuk menghadapi saat-saat sukar ini.
Jenazah mendiang kini ditempatkan di Bilik 9, Dewan Pengebumian Hospital Universiti Seoul. Upacara pengebumian dijadualkan berlangsung pada pukul 9:30 pagi, 4 Disember, manakala lokasi pengebumian masih belum diputuskan.
Pemergian Park Min-jae merupakan satu kehilangan besar buat industri hiburan Korea. Aktor berbakat ini meninggalkan legasi seni yang pasti dikenang oleh para peminatnya. – BOOM!