Pelawak solo yang menyertai program Maharaja Lawak Mega 2018, Hilmy Ashley mengesahkan telah menceraikan isterinya, seorang wanita Bosnia yang dikahwininya sedekad lalu.
Hilmy atau nama penuhnya Muhd Ibrahim Hilmy Noor Mohd Ashley, 38, mengakui, dia melafazkan talak satu terhadap isterinya, Hedri di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada Khamis lepas.
“Mula-mula kami ke mahkamah pada 22 Mac untuk kes perceraian ini, tetapi saya tak cukup kuat untuk lafazkan cerai kerana masih sayangkan Hedri.
“Kemudian saya minta mahkamah tangguhkan kerana mahu berbincang semula dengan isteri saya. Lagipun saya masih sayangkannya serta anak-anak.
“Di luar mahkamah, saya terserempak dengan Shuk Sahar yang mengakui baru sahaja menceraikan isterinya Sera.
“Semasa berbual, Shuk sempat menasihati saya supaya pertimbangkan baik-baik sebelum membuat keputusan.
“Nanti dah bercerai, anak-anak akan jauh. Shuk kata, nak berulang alik dari rumahnya di Pulau Pinang ke Sabah semata-mata untuk melawat anak bukanlah sesuatu yang mudah.
“Apatah lagi saya yang berkahwin dengan wanita Bosnia. Pastinya ia lebih mencabar,” akuinya.
Bagaimanapun menurut Hilmy, dia tidak mampu melawan takdir setelah akur terpaksa berpisah dengan Hedri pada tanggal 30 Mac lalu.
BACA: [VIDEO] Rasa Diri Hebat, Nizam Jentik2 Akui Pernah Perkecilkan Hilmy Ashley Di Pentas MLM 2018
Ditanya pandangannya untuk merujuk semula, dia tidak menolak kemungkinan perkara itu, namun harus memperbetulkan dulu kehidupannya.
Sebagai rekod, perkahwinan Hilmy dengan Hedri adalah yang kedua dan mereka dikurniakan dua cahaya mata. – BOOM!