Kebelakangan ini, pengikut akaun Facebook Ning Baizura terkejut apabila mendapat ruangan FB Story didaftarkan atas namanya dipenuhi gambar bogel beberapa wanita.
Rentetan itu, penyanyi lagu Awan Terpilu berkenaan tampil bersuara membela dirinya yang menjelaskan bahawa akaun media sosial tersebut bukan miliknya.
“Minggu lepas ketika sedang sibuk menjalani latihan bagi MiFFest (Festival Filem Antarabangsa Malaysia), tiba-tiba saya diberitahu tentang perkara ini.
“Sebetulnya saya tidak pernah mempunyai sebarang akaun rasmi peribadi mahupun kelab peminat,” jelasnya.
Tambah Ning, satu-satunya akaun media sosial dimilikinya hanyalah Instagram untuk berkomunikasi secara maya dengan ahli keluarga, rakan dan juga peminat.
“Tak silap saya, sudah setahun lebih akaun itu diwujudkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan sebelum ini saya pernah memaklumkan hal ini untuk pengetahuan umum,” tegasnya.
Bagaimanapun Ning berpendirian, dia enggan memanjangkan isu tersebut dengan mengambil sebarang tindakan undang-undang kerana banyak perkara lain yang perlu difikirkannya. – BOOM!