Mahkamah Agama Jakarta Selatan pada Selasa memutuskan bahawa pernikahan pasangan selebriti Rizky Febian dan Mahalini tidak sah di sisi undang-undang dan agama. Keputusan ini dibuat kerana pernikahan mereka didapati tidak memenuhi salah satu rukun nikah yang penting.
Menurut jurucakap mahkamah, H. Suryana, isu utama ialah wali yang menikahkan Mahalini bukanlah wali yang sah.
“Mahalini seorang mualaf, tetapi ibu bapanya bukan Islam. Oleh itu, bapanya tidak dianggap sebagai wali yang sah,” jelasnya seperti dilaporkan oleh Kapanlagi.
Ketika majlis pernikahan yang berlangsung pada 10 Mei lalu, seorang ustaz telah dilantik sebagai wali hakim untuk Mahalini. Namun, panel hakim mendapati proses pelantikan wali hakim itu tidak memenuhi kriteria undang-undang di Indonesia.
Pasangan itu sebelum ini memohon pengesahan perkahwinan daripada mahkamah, tetapi keputusan yang diumumkan membawa kesan besar terhadap status perkahwinan mereka.
“Keputusan ini berdasarkan fakta perbicaraan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” tegas H. Suryana.
Kini, Rizky dan Mahalini perlu memutuskan tindakan seterusnya, sama ada membuat rayuan atau menyusun semula pernikahan mereka mengikut prosedur yang sah. Pasangan itu juga disarankan untuk mendaftarkan semula pernikahan mereka di Kantor Urusan Agama (KUA) setempat bagi mendapatkan buku nikah rasmi.
Rizky Febian, 26, dan Mahalini, 24, melangsungkan pernikahan mereka dalam sebuah majlis eksklusif di Hotel Raffles, Jakarta Selatan, pada 10 Mei lalu. Namun, keputusan ini menjadikan status hubungan mereka kini dalam perhatian ramai.
Keputusan mahkamah ini turut memberi tekanan sosial kepada pasangan popular tersebut, namun mereka diyakini akan mengambil langkah terbaik untuk menyelesaikan isu ini. – BOOM!