Pelbagai cara untuk memulakan bisnes tetapi strategi pemasaran sangat penting dalam menarik perhatian pelanggan.
Pengalaman menarik dikongsi pemilik bisnes Owlet Beauty, Ceddy Ang yang mempunyai strategi tersendiri apabila menceburi bidang perniagaan dengan terlebih dahulu mencipta nama sebagai pempengaruh di media sosial.
Menurutnya, dia pernah menjadi pelajar undang-undang tetapi kemudian mengambil keputusan untuk fokus masa depan dalam bidang jualan dan pemasaran.
“Selepas tidak berjaya menjadi peguam, saya masuk bidang jualan dan kemudian pemasaran. Tiba-tiba ada minat nak buat ‘content creation’ dan saya jadi ‘live streamer’.
“Ada orang main ‘game’ sambil borak-borak boleh jana duit AS$1 juta. Saya pun cuba buat tapi tak dapat AS$1 juta. Kemudian kawan saya kata cuba masuk TikTok.
“Pada peringkat awal, saya memang tak suka sebab tengok orang menari dan saya rasa dah tua, rasa tak ngam tapi saya cuba ‘upload’ dan tiba-tiba sambutannya ‘meletup’,” katanya.
Jelasnya, dia hanya memulakan bisnes iaitu Owlet Beauty selepas 2 tahun menjadi pempengaruh dan mempunyai pengikut sendiri.
“Pada masa itu, saya rasa sudah tiba masanya saya menjadi ahli perniagaan. Jawapan ringkas berniaga sebab nak duit tapi dalam aspek jualan dan pemasaran, saya juga menimba ilmu dalam Sarjana Pemasaran.
“Saya memang suka pemasaran dan selalu fikir apa yang saya belajar cuma teori, apa kata saya cuba berniaga dan menggunakan ilmu tersebut. Selepas itu baru saya rasa, ia bukan mudah.
“Dalam buku tulis kena ada ‘principal’ itu ini dan bisnes berjaya tetapi takdelah, tipu!,” katanya.
Ceddy mengakui dia hanya memulakan bisnes selepas popular di media sosial.
“Pada masa itu pengikut dalam 200,000 hingga 300,000 orang. Secara kelebihan memang ada pengikut, ia akan menyokong bisnes ia masukkan saya dalam kumpulan peniaga yang jual timbang kilo.
“Saya seorang ahli perniagaan yang berbeza, bersusah payah dengan keringat dan fikir betul-betul sebelum lancar produk,” katanya.
Secara berseloroh, Ceddy mengatakan masyarakat Cina sendiri lebih memilih kerjaya sebagai peguam, jurutera dan aktitek untuk masa depan kerjaya yang cerah.
“Masa kecil saya suka membuat persembahan dan menyanyi tapi ibu bapa bimbang, nak menyanyi suara sumbang, ada masa depan ke? mereka tidak berapa menyokong,” katanya.
Dalam memastikan bisnes sentiasa berkembang, Ceddy berkongsi tips cara menaikkan jumlah pengikut di media sosial.
“Saya terjemahkan personaliti saya dalam kandungan di media sosial. Saya dengar permintaan pengikut Melayu seperti boleh tak cari tempat halal dan saya kata boleh sebab dalam bisnes, kita perlu mendengar,” katanya.
Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai bisnes yang dijalankan Ceddy, jangan lupa saksikan temu bual bersamanya dalam program bual bicara terbaharu, Sembang Protege x KRU dalam Episod 4 – ‘Marketing Kena Power!’ menerusi platform laman sosial PROTEGE di YouTube, Facebook dan Instagram.- BOOM!