Pelakon dan penyanyi, Lufya Omar membuat tuntutan mutaah berjumlah RM1 juta terhadap bekas suaminya, Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, pada Khamis.
Lufya yang tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi ditemani ibunya dan peguam syarie yang mewakilinya.
Sementara, Che Muhammad Hafiz, 33, turut hadir di mahkamah bersama peguam syarie, Abdul Hadi Mohamad Salleh dan isteri, Julia Farhana Marin.
Prosiding pengurusan kes tersebut selesai kira-kira pukul 10 pag, namun Lufya enggan ditemu bual pihak media sebaik sahaja proses selesai.
Sementara itu, Abdul Hadi memberitahu, pengurusan kes tersebut adalah selepas Lufya memfailkan tuntutan berkenaan kepada pihak mahkamah pada Oktober tahun lalu.
“Selepas tuntutan berkenaan, Lufya dan Che Muhammaf Hafiz melalui proses Sulh, namun proses itu tidak tercapai. Jadi, hari ini adalah proses pengurusan kes dan kami sedang menunggu tarikh daripada pihak mahkamah untuk sebutan kes seterusnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Che Muhammad Hafiz ketika ditemui berkata, beliau agak terkejut dengan amaun tuntutan Mut’ah yang dituntut Lufya.
Bagaimanapun, beliau menghormati tuntutan yang dibuat bekas isterinya itu namun menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan jumlah tuntutan yang perlu diberikan kepada Lufya. – BOOM!
Sumber: KOSMO!