Bekas anggota kumpulan nasyid UNIC, Dr. Fitri Haris bersama isterinya, Fazilah Omar kini mengusahakan perniagaan klinik di bawah jenama Megaklinik Zahran di Taman Putra Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dr. Fitri atau Mohamad Fitri Mohamad Haris, 37, memberitahu, keberaniannya menceburi bidang tersebut kerana melihat peluang pendapatan dan kepuasan terhadap dirinya.
“Dalam keadaan diuji, saya banyak menghabiskan masa bersama petugas barisan hadapan di Megaklinik Zahran sebelum ini.
“Saya melihat industri kesihatan sebagai satu peluang perniagaan, malah ada satu perkara menarik minat saya selain dapat membantu orang.
“Klinik saya berkonsepkan mega. Ini bermakna, secara fizikal, saiznya lebih besar berbanding klinik tetapi kecil sedikit daripada hospital.
“Kami menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti full blood test, konsultasi, urine test, ear syringing, ultrasound, saringan Covid-19, medical check-up dan dressing,” katanya mempromosikan klinik baharu berkenaan.
Melalui Projek Usahawan, Dr. Fitri merasakan industri kesihatan kmenjadi begitu sinonim dengan beliau sepanjang Covid-19 melanda seluruh dunia.
“Saya ini jiwanya seorang pendidik dan suka memberi manfaat untuk dikongsi bersama.
“Sektor ini juga satu kepuasan apabila dapat melihat pesakit atau keluarga tersayang kembali sihat,” jelasnya.
Menyentuh aktiviti seninya, pelantun lagu Langit Wahyu itu menjelaskan, dia akan terus menyanyi sebagai salah satu medium dakwah menyampaikan kebaikan. – BOOM!