Pelakon Diana Danielle berharap agar kemelut rumah tangganya dengan Farid Kamil berakhir dengan baik Khamis ini.
Bagaimanapun kata Diana, dia tidak boleh terlalu gembira sehingga semuanya betul-betul berakhir.
Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 32, turut mengharapkan apapun keputusan yang bakal diambil, akan berakhir dengan harmoni tanpa perlu bermusuhan.
“Saya hanya akan lega kalau betul-betul berakhir. Sekarang, saya masih dalam keadaan menunggu keputusan dan insya-Allah, saya mahu bersangka baik.
“Saya mahukan pengakhiran yang aman untuk kami kekal hubungan baik demi anak-anak dan silaturahim antara kami.
“Saya berdoa semoga kami capai kata sepakat. diikuti penamat yang baik. Apapun saya kena bersedia dengan segala kemungkinan yang berlaku,” katanya.
Tampil mengenakan jubah berwarna pastel dan bertudung corak bunga, pelakon filem Imaginur ini hanya mengharapkan, krisis rumah tangganya dapat diselesaikan dengan segera kerana ia memberi kesan kepada banyak pihak.
“Nak kata berdebar tunggu keputusan tidaklah sangat. Cuma, perkara ini membabitkan keluarga. Ia juga memberi impak kerana membabitkan perasaan dan masa depan.
“Disebabkan itu, kami perlu meletakkan isu konflik rumah tangga ini sebagai sesuatu yang serius.
“Saya tak mahu terlalu banyak memberi kenyataan kerana Farid tiada hari ini,” katanya ketika ditemui selepas kes tuntutan hadanah interim di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, pagi tadi.
Diana diwakili peguam. Datuk Akberdin Abdul Kader.
Pada Khamis ini, sebutan semula proses hakam membabitkan pasangan ini akan berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Dalam pada itu peguam syarie mewakili Diana iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader berkata pihaknya sudah berbincang dengan pihak defendan berhubung segala aspek melibatkan penceraian pasangan ini.
“Kami telah berbincang untuk keputusan permohonan inter-parte hak penjagaan anak-anak dan semua kes-kes yang berkaitan anak guam dengan Farid termasuk cerai.
“Kita telah sediakan satu perjanjian penyelesaian buat kedua-dua pihak dan telah masukkan semua terma-terma untuk selesaikan kes ni secara menyeluruh.
Sementara itu Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam menetapkan semula pada 21 Ogos ini bagi merekod persetujuan yang dicapai kedua-dua pihak. – BOOM!