Baru-baru ini kedengaran nama Hazwani Helmi dipetik dalam perbualan ‘makcik bawang’ selepas timbul dakwaan mengatakan adik kepada Datin Seri Heliza Helmi itu sedang berkawan rapat dengan Shuib Sepahtu.
Bagaimanapun Hazwani atau Nur Hazwani Afiqah Helmi, 25, ketika diminta mengulas tentang hal tersebut akui terkejut kerana tidak pernah memiliki nombor telefon suami Allahyarham Siti Sarah Raissuddin itu.
“Jujurnya saya hairan macam mana dakwaan ini boleh timbul. Saya mengetahuinya daripada seorang individu yang berkongsikan perihal itu di Instagram.
“Sejurus membacanya, saya terus terkedu sebab terkejut. Tak tahu nak beri reaksi yang macam mana,” katanya pada majlis pelancaran filem Road To Heaven di pawagam P Ramlee Finas, Ulu Kelang minggu lalu.
Terdahulu, Shuib menafikan perkara itu dan menegaskan bahawa dia juga tidak pernah bertemu Hazwani.
Tambahnya yang aktif menulis dan menghasilkan lagu dakwah itu, dia sendiri tidak pernah terfikir untuk mendekati pelawak popular terbabit dan hanya mengenali duda sensasi berkenaan selaku teman sesama industri.
“Saya cuma kenal Shuib sebagai pelawak, tetapi nombor telefonnya saya tak simpan, apatah lagi dikatakan pernah berhubung dan berjumpa dengannya.
“Jauh lagi perjalanan saya, masih belum terfikir ke arah itu (berpasangan),” jelasnya sekali gus menjawab spekulasi umum yang hangat digembar-gemburkan.
Dalam perkembangan lain, Hazwani dijangka menamatkan pengajiannya di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang psikologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada Ogos depan. – BOOM!