Terlalu banyak perkara yang berlegar di ruang fikiran penyanyi, Taleeb Mizad, termasuk rutin harian sebagai ketua keluarga hinggakan karier nyanyiannya sedikit tenggelam.
Pernah memenangi trofi bagi kategori Nova Media Baharu di Anugerah Planet Muzik 2012 (APM2012), Taleeb, 32, atau Abdul Muttaleeb Mizad tetap optimis dia mampu merencana kerjaya seninya biarpun perlahan.
“Saya akui memang sibuk dengan pelbagai perkara. Selain menyanyi, pada masa sama saya juga seorang usahawan serta aktif sebagai presiden bagi sebuah NGO (badan bukan kerajaan).
“Itu tidak bermakna saya tidak fokus kepada kerjaya nyanyian yang sudah lama saya ceburi,” katanya kepada Boom!.
Kali terakhir melahirkan single berjudul Restu Cinta sekitar 2018, Taleeb yang juga pempengaruh media sosial merangka karier nyanyiannya ke tahap yang lebih baik.
“Jujurnya, saya mahu masuk AJL (Anugerah Juara Lagu). Tak semestinya dalam masa terdekat, tetapi pasti akan ke AJL.
“Saya yakin lagu saya akan menjadi siulan ramai suatu hari nanti,” katanya menanam semangat penuh iltizam.
Aktif melakukan rebiu produk di akaun media sosial, Taleeb menjadikan aktiviti tersebut sebagai salah satu cabang yang mampu menjana pendapatannya.
Dia menambah, jalur muzik yang kedengaran seakan-akan nyanyian kumpulan Ungu dan Wali Band menjadi pilihan kerana kaya dengan unsur nasihat.
Taleeb bersama ahli-ahli Kelab Peminat Manchester City”Tidak terhad kepada genre nasyid atau ketuhanan, saya juga terbuka untuk menyanyikan lagu pop asalkan memberi makna kepada pendengar,” katanya.
Mengenai NGO yang diuruskannya iaitu Kelab Penyokong Manchester City Malaysia, Taleeb berkata, banyak aktiviti telah disusun terutama program berkaitan amal kebajikan, selain mengukuhkan ukhwah sesama ahli.