Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KRU Group, Datuk Norman Abdul Halim menafikan kenyataan dikeluarkannya kepada sebuah akhbar ditujukan kepada mana-mana selebriti tanah air yang giat berpolitik.
Kata Norman, sewaktu menjawab soalan wartawan berhubung punca seseorang artis yang bertanding gagal mendapat kedudukan dalam kerusi, dia hanya mengulas secara umum tanpa menyebut nama sesiapa.
“Judul artikel yang diterbitkan semalam berhubung ‘Populariti semata-mata tidak mencukupi untuk berjaya dalam politik’ itu diambil di luar konteks.
“Saya tidak menyindir sesiapa atau menyerang sesiapa pun,” katanya kepada BOOM!
Norman menjelaskan, punca kegagalan mungkin disebabkan muka-muka baharu yang bertanding memerlukan masa lebih lama untuk membina sokongan.
“Saya tidak pernah bertanding dalam politik, jadi saya menggunakan diri sendiri dalam berpersatuan misalnya sebagai rujukan untuk menjawab soalan.
“Untuk menjadi presiden persatuan, harus ada elemen pemilihan dan saya juga terlebih dulu bermula dari jawatan yang paling rendah.
“Begitu juga dalam berpolitik dengan membina nama dari bawah, serta dapatkan sokongan dari masa ke semasa barulah seseorang boleh mengecapi sesuatu kejayaan,” katanya.
Bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, Hans Isaac semalam memberi reaksi terhadap artikel berkenaan dengan berkata dia tidak pernah sesekali menggunakan popularitinya untuk meraih kepentingan dalam berpolitik.
Pengarah dan pelakon itu berkata, dia dan pasukannya bekerja keras untuk ahli akar umbi Parti Perikatan Rakyat (PKR) melalui lebih 250 kerja-kerja tanggungjawab sosial (CSR), malah berkorban waktu untuk membantu menyelesaikan pelbagai isu di Ampang.
Kata Hans, Norman perlu berfikir sebelum mengeluarkan sebarang komen yang sensitif.
Bagaimanapun, Norman berkata, Hans seharusnya bersikap lebih profesional.
“Saya tidak menafikan bahawa Hans banyak memberikan sumbangan di Ampang. Cuma saya rasa, jika dia profesional, dia tidak akan terasa dengan apa yang saya cakap,” katanya.
Sekadar info, Hans, 50, tewas dalam saingan merebut jawatan Ketua Cabang Ampang bagi Pemilihan PKR baru-baru ini.
Namun, Hans sekali lagi mencuba nasib bertanding jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagi penggal 2022-2025.
Tambah Norman, selaku rakan artis, dia sendiri seboleh-bolehnya mahu melihat ada dalam kalangan selebriti yang bertanding memperoleh kejayaan.
Pada masa sama, Norman mencadangkan, bagi meraih sokongan awam yang banyak, seseorang artis berpolitik wajar melihat sesuatu isu dari luar kotak dan lebih luas.
“Ia bertujuan meraih sokongan awam yang lebih banyak. Bila jadi ahli politik, kena menyelesaikan isu selain dalam industri kreatif. Kena ada pandangan holistik sebab mereka bukan artis lagi,” ujarnya.
Norman berkata demikian ketika ditemui pada majlis ulang tahun ke-30 dan rumah terbuka Aidilfitri KRU di Cyberjaya semalam. – BOOM!