Penerbit dan pemilik syarikat produksi A Aida Productions iaitu Datuk A Aida menegaskan, dia tidak akan mengambil Hafidz Roshdi berlakon kerana perbuatannya memukul bekas isteri, Nurul Shuhada merupakan satu kesalahan jenayah.
Bertemu dengannya baru-baru ini, dia berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kemarahan masyarakat terhadap aktor terbabit yang kini sedang meluap-luap.
“Selaku penerbit, saya kena pastikan karya terbitan tidak terpalit dengan sebarang unsur negatif yang boleh memberi kesan buruk.
“Jika dia berlakon drama saya dalam tempoh terdekat ini, saya yakin akan kehilangan jumlah penonton kerana ramai yang membenci dan memarahinya,” ujarnya berterus terang.
Aida berkata demikian sewaktu ditemui usai sesi rakaman program candawara terbaharu terbitannya, Cuba Teka yang berlangsung di Studio Merdeka Finas pada Sabtu.
Tambahnya, tindakan Hafidz terhadap Shuhada telah menyentuh sensitiviti umum, sekali gus menyebabkan penonton beremosi.
“Jadi, situasi itu semestinya memberikan impak tidak bagus kepada produksi saya,” kata Aida menetapkan pendiriannya.
Pun begitu, Aida percaya setiap manusia boleh berubah setelah menyesali kesilapannya dan andai perkara itu berlaku, dia akan pertimbangkan untuk memberi peluang kepada Hafidz. – BOOM!