Aizat Amdan, penyanyi yang terkenal dengan kreativiti muziknya, kini tampil dengan single terbaharu bertajuk “Tegap Berdiri,” terinspirasi dari pengalamannya menyertai sukan Muay Thai. Lagu ini adalah hasil ciptaannya bersama Mel Ramlan dan Izzy Musa, terbitan Kasi Gegar Entertainment (KGE), dan membawa mesej mendalam mengenai semangat juang serta daya tahan.
“Saya sudah lama meminati sukan Muay Thai sejak 2015. Latihan intensif membawa saya ke tahap di mana jurulatih yakin saya sudah bersedia untuk ‘fight’. Tanggal 12 Oktober lalu menjadi pengalaman pertama saya dalam gelanggang, satu pengalaman yang luar biasa,” kongsi Aizat.
Single “Tegap Berdiri” turut mencerminkan pandangan hidup Aizat, di mana setiap kekalahan adalah peluang untuk bangkit lebih kuat.
“Mesej lagu ini tentang perjuangan – kadang menang, kadang kalah. Tapi, apa yang penting adalah terus ‘tegap berdiri’ dalam apa jua cabaran,” tambahnya lagi.
Menariknya, lagu ini lahir secara tidak sengaja ketika sesi rakaman “Dari Studio Podcast” bersama Mel dan Amar, abang Aizat. Dalam perbincangan mengenai sukan dan zaman kegemilangan bola sepak negara, tercetus inspirasi, “di akhir nanti kau masih tegap berdiri”, yang akhirnya menjadi bait lirik ikonik dalam lagu tersebut.
Dari sudut muzik, Aizat membawakan elemen ‘City Pop’ dari Jepun era 80-an ke dalam rentak lagu ini, namun diolah dengan sentuhan moden yang digelarnya ‘KL-City Pop’.
“Saya nak bawa nostalgia, tapi tetap segar buat pendengar masa kini,” katanya.
Selain lagu, Aizat turut menghasilkan video muzik (MV) yang mengisahkan perjalanan beliau dalam Muay Thai dari sesi latihan hingga perlawanan pertamanya.
“Realiti sebenar dunia olahraga ini penuh dengan kerja keras, menguji fizikal dan minda,” jelas Aizat mengenai cabaran yang dihadapinya.
“Tegap Berdiri” kini boleh dimuat turun di pelbagai platform penstriman seperti iTunes, Spotify, Apple Music, dan Joox. MV pula boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Aizat Amdan, OfficialAizatAmdan. – BOOM!