Penyanyi Shila Amzah meluahkan kelegaannya selepas ‘perang dingin’ selama lapan tahun bersama pihak media Melayu berakhir dalam satu pertemuan di Restoran Puteri, Sungai Penchala, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Selain berkongsi rasa mengenai kemelut berkenaan, Shila dan pihak media juga saling bermaafan sekali gus menamatkan konflik yang tercetus susulan kes saman menyaman pada tahun 2015 itu.
“Sejujurnya saya berasa lega ibarat terlepas beban di bahu saya selepas pertemuan bersama media ini.
“Jika ikutkan perasaan untuk berdamai ini telah timbul ketika saya hamil pada 2019, tetapi mungkin tidak termakbul ketika itu kerana masanya belum sesuai.
“Andai pertemuan bersama media berlaku pada lapan tahun lepas, mungkin tidak akan sedamai ini kerana cara pemikiran saya hari ini sudah jauh berubah dan lebih matang.
“Saya tidak mahu lagi menanggung beban di bahu saya kerana kemelut ini. Saya sudah tidak larat,” ujar Shila sedikit emosi.
Tambah Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 32, konflik selama lapan tahun bersama media banyak mengajarnya untuk berfikir dengan lebih matang.
Malah, penyanyi lagu Khilaf Asmara itu juga berharap perkara tersebut dijadikan iktibar oleh rakan selebriti lain.
“Kalau boleh saya hendak beritahu rakan-rakan artis yang lain supaya elakkan dan jangan buang masa turun naik mahkamah jika ada masalah dengan mana-mana pihak, sebaliknya selesaikan dengan cara yang baik.
“Saya tidak mahu orang lain melalui perkara yang sama, sesukar mana pun pilihlah jalan damai. Sebabnya tidak akan timbul perkara yang baik daripada konflik selain masa dan wang terbuang begitu sahaja,” ujarnya.
Terdahulu, sekitar Mac lalu Shila dalam satu temu bual dalam program hiburan meluahkan kekesalannya atas tindakan saman terhadap sekumpulan wartawan pada 2015 dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada media yang terkesan.
Akui Shila, pengalaman berkenaan satu pembaziran besar kerana jumlah wang yang dihabiskan untuk turun naik mahkamah sebenarnya boleh membeli sebuah rumah. – BOOM!