Susulan isu pengarah Syamsul Yusof bakal mengenakan tindakan saman berjumlah RM10 juta terhadap JAWI, Peguam sivil dari Tetuan Mohd Amin, Ng & Associates, Hafez Zalkapli tampil berkongsi pengetahuan.
Hafez berkata, Syamsul tidak boleh menentukan jumlah saman terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kerana ia di bawah bidang kuasa pihak mahkamah.
“Jumlah RM10 juta tidak boleh ditentukan Syamsul. Ini kerana mahkamah yang bakal menentukannya kemudian.
“Seterusnya, kena tengok jenis maklumat peribadi yang dibocorkan. Jika maklumat dibocorkan membabitkan dokumen seperti saman atau pernyataan tuntutan dalam mahkamah, tindakan Syamsul tidak berasas kerana semua itu adalah dokumen awam,” katanya.
Syamsul pada Khamis, mendakwa JAWI membongkar maklumat peribadi yang disifatkan berunsur fitnah, dipercayai membabitkan dokumen berkaitan kemelut rumah tangganya bersama isteri, Puteri Sarah.
Difahamkan dokumen tersebut turut membabitkan orang ketiga yang dilabel Sarah sebagai perosak rumah tangga mereka iaitu Ira Kazar.
Sehubungan itu, Hafez menambah, Syamsul perlu terlebih dahulu membuktikan dirinya difitnah.
“Sekiranya tiada, maka tiada kausa tindakan. Kedua, dia juga perlu buktikan fitnah disiarkan oleh pihak berkenaan.
“Syamsul mesti membuktikan kenyataan fitnah itu benar-benar menjatuhkan reputasi dan statusnya dalam kalangan masyarakat, menyebabkannya dijauhi dan dihindari sehingga diperlekehkan, dibenci serta diperolok-olokkan.
“Dan sama ada fitnah itu mencadangkan dia seorang yang tidak berkredibiliti dan tidak jujur dari segi motif dan tindakan serta tidak berintegriti,” katanya.
Kongsi lanjut, Hafez berkata, terdapat dua jenis maksud dalam ayat fitnah iaitu bermaksud biasa atau tersurat.
Hafez berpendapat, Syamsul perlu membuktikan ayat sebenar digunakan oleh JAWI.
“Ia perlu dinyatakan dalam tuntutan samannya. Mahkamah akan menentukan maksud perkataan berdasarkan ujian objektif, tertakluk kepada konteks, keadaan persekitaran, penyiaran dan keseluruhan kenyataan yang dibuat,” katanya. – BOOM!